Pages

12/3/11

Hidup

(Tulisan berikut dikarang atas permintaan Kelab UMNO Luar Negara NY/NJ untuk laporan tahunan kelab sesi 2010/2011)

HIDUP

            Penglibatan saya dalam aktiviti kemasyarakatan di rantau ini (Amerika Syarikat) bermula pada bulan Disember 2010 yang mana rata-rata aktiviti yang saya libati kebanyakannya adalah di bawah anjuran bersama oleh NYCares (New York Cares), iaitu salah satu badan sukarela bukan kerajaan yang terbesar di Amerika Syarikat, dengan pelbagai agensi lain yang terdapat di sini. Selain itu saya turut juga melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang digerakkan oleh pelbagai badan lain di sini antaranya termasuklah National Brain Tumor Society, Islamic Relief dan juga American Red Cross. Secara peribadinya, saya merasakan yang alangkah baiknya andai saya dapat melibatkan diri dengan program seperti ini lebih awal lagi kerana amatlah banyak perkara yang saya pelajari. Dari setiap aktiviti yang saya lakukan, setiap satunya mengajar saya suatu yang baru mengenai ‘hidup’; titik perbezaan yang wujud sesama insan, titik persamaan yang tidak kurang banyaknya, kepelbagaian jendela yang digunapakai untuk  memandang nilai laku dalam kehidupan,  dan segala ini menggambarkan akan betapa uniknya setiap satu makhluk yang bergelar manusia itu. Kadangkala yang terlihat umum hanyalah para sukarelawan yang turun menghulur tangan memberi bantuan dan habis setakat itu sahaja. Saya adalah antara yang tidak bersependapat dengan kesimpulan itu. Walaupun mungkin ada benarnya, tetapi untuk saya bersetuju, jauh sekali. Ia lebih dari sekadar itu. Sekadar pengamatan yang terbatas oleh diri ini, bilamana seorang itu menghulur tangan, yang ditolong itu tidaklah lain dari yang banyaknya keatas diri sendiri kerana dengannya, ia membantu ‘menghidupkan’ kembali seorang itu, membangun-sedarkan segala nilai kemanusiaan yang mungkin ‘terlena’ dalam diri, dan menjadikan manusia itu lebih manusia.


Salah satu projek yang pernah saya libati adalah dengan menjadi sukarelawan selama 3 hari 2 malam di pusat pemindahan sewaktu Hurricane Irene  yang melanda beberapa bulan lalu (Ogos 2011). Di sana, saya ditempatkan dalam pasukan logistik dan pengangkutan (logistics and transport team) yang mana saya bertanggungjawab untuk memastikan proses pemindahan client (mangsa ribut) berjalan lancar. Antara lainnya, saya perlu sama memastikan kelancaran proses pemindahan bekalan bantuan dari luar (makanan dan keperluan asas lain merangkumi alatan mandian, katil sementara, ubatan, dll.) ke dalam pusat pemindahan tersebut. Selain itu, saya turut ditugaskan untuk menjadi warden (sesi malam) yang mana saya dipertanggungjawabkan untuk memantau suasana tempat client beristirehat dan memastikan  kawasan tersebut berada dalam keadaan terkawal. Sepanjang keberadaan di tempat itu, begitu banyak yang saya pelajari mengenai pelbagai perkara yang mana kebanyakannya bukanlah suatu yang boleh ditelaah dari buku-buku mahupun dari sebarang kelas akademik. Daripada satu sisi, saya dilihatkan kepada struktur pengurusan di institusi berkenaan, etika kerja, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua yang bertugas yang bukan sahaja terdiri daripada pekerja rasmi dari pihak kerajaan tetapi juga dari pelbagai badan bukan kerajaan yang lain. Berdepan dengan suasana yang tegang dek kerana client yang majoritinya berkeadaan tertekan, ditambah pula dengan kepelbagaian ragam dan macam yang ditunjukkan oleh para client, ia amatlah mencabar dan cukup mudah sekali untuk menghakis tahap kesabaran dan kadar toleransi yang mampu diberikan. Akan tetapi, sikap profesionalisme yang ditonjolkan oleh semua pekerja yang ada cukup mengagumkan saya, yang mana tidak langsung mereka melatah malah senantiasa menimbangtara serasional mungkin semua perkara tanpa dipengaruhi emosi, walaupun diselubungi keletihan yang jelas terlihat diraut wajah masing-masing.

Dari sisi lainnya, saya berpeluang untuk memerhati, berinteraksi dan berdiskusi secara langsung dengan para client yang terdiri daripada pelbagai kelas masyarakat yang berbeza pegangan, fahaman, bangsa, dan bahasa. Setiap satu yang saya temui masing-masing mempunyai kisah tersendiri yang mereka kongsi, dan yang lebih penting lagi, ianya benar dari mulut mereka yang berada di situasi berkenaan, bebas tanpa sebarang olahan dan suntingan pihak-pihak berkepentingan. Yang berbicara dengan saya merangkumi mereka dari segenap usia dalam lapisan masyarakat, dari warga emas yang berkerusi roda, hinggalah anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan. Mungkin mereka sangka yang diceritakan oleh mereka itu hanyalah sekadar rutin harian dan keadaan biasa dalam komuniti mereka, akan tetapi bagi saya, setiap satu itu adalah seperti halaman baru dalamnya buku; ada yang mengundang tawa, ada yang membuah hormat, ada yang membentuk amarah, ada yang meraih simpati, tidak kurang juga yang menggenangkan kelopak mata. Pendek kata, yang disembang bersama itu emosinya pelbagai, reaksinya bermacam, dan kisahnya berbeda. Terlalu banyak andai mahu diceritakan, cukuplah sekadar memberita yang banyaknya kisah itu lebih dari sekadar apa yang dipertontonkan di segala kaca media, yang diperdengarkan di corong radio, mahupun yang dikarang tulis. Tiga hari yang dilalui disitu memberikan saya perspektif yang baru dalam melihat segala yang ada di sekeliling. Setiap detik yang dilalui tidaklah lain darinya dipelajari sesuatu mengenai penghidupan, dan saya seolah disekolahkan oleh suasana akan perihal manusia.

Sesungguhnya bumi tuhan ini sangatlah luas dan sengaja diciptakan oleh yang maha Esa penghuninya yang berbangsa-bangsa dan berpuak-puak tidaklah lain agar kita saling mengenal dan memahami antara satu sama lain. Pecahkanlah kepompong kecil itu, terbalikkanlah tempurung rapuh itu, kembara dan singkaplah misteri kehidupan. Percayalah yang hidup ini banyak rahsianya dan ia lebih dari sekadar yang kita sangka.


No comments: