Pages

12/31/11

Dari Kiai Yang Namanya Penghidupan



Anak itu asalnya kampung. Tidaklah hidup sesenang mana, tapi cukuplah makan pakainya. Tidak dipunya segalanya harta, sekadar yang asas itulah yang ada. Bahasa perantara yang dijadi guna, tidak sepatah Bahasa Inggeris ditutur, hanya bahasa ibunda luncur meniti di bibir. Sungguh begitu, ulangkali dipesan kata ditunjuk laku oleh ibunda, biar yang lain semua tiada, asal yang budi tersemat ada, asal yang dikata enak dicuping, dan yang dilaku tidak meluka, cukuplah itu yang mahu dipinta. Meski yang demikian, membanting tulang subuh ke sore kedua orang tua anak itu memerah keringat mencari rezeki membekal segala yang dirasa perlu, dan yang utamanya, ditekan betapa peri pentingnya ilmu agar jadinya nanti seorang ‘manusia’. Semenjak kecilnya, anak itu dibelajarkan di TASKI, yang kemudiannya dihantar pula ke sekolah rendah, yang kemudiannya dituruti sekolah asrama dan atas berkat doa kedua si tua, anak itu dapat melanjutkan pelajaran ke rantau orang. Tulis ini kerana cuba mencatit barang sefasal dua perihal yang dinampak rasa dek ekor mata anak itu. Sekadar coretan cebisan hidup si anak marhaen.

Tentang hidup. Banyak benar. Biar dimula dari sekadar yang terlintas dan lihatlah kemudian kemana akan tulis ini terkemudi. Biar dimula dengan pandang anak itu tentangnya suatu perkara yang dinamai ‘deen’. Anak itu, walau dari kecil sudah terdidik akan perkara tunjang yang gelarannya agama, yang dirasai di sini walau sama gelarannya, tapi sepertinya sisi sebelah satu lagi syiling itu. Kerana di tanah air itu ramai sekali yang berpegang ajaran yang sama. Tambah lagi, yang ada dikampung itu hampir semuanya berpegangan yang sama, sekolahnya sekolah melayu, kawannya hampir semua melayu, dan melayu itu sinonimnya islam. Dan kelas agamanya setiap masa. Pandangnya, cukuplah rasanya kalau dirasa sudah betul faham agama sendiri. Ujian pun markahnya baik sentiasa. Setakat Subjek Agama hanya sebelah mata sahaja memandang. Iyalah, segala definisi dari segi bahasa mahupun istilah sudah dihafal, segala rukun, syarat sah, segala yang haram halal semuanya dihafal sudah. Apa lagi yang ada? Kerana cikgu pun ajarnya setakat itu. Sering pula diberi puji. Nah, sudah anak itu menjadi si ‘terpelajar’. Tetapi, seperadaan anak itu di sini, maaflah kalau dikata begini, tapi yang dirasai anak itu agama yang dipelajari itu lebihnya kepada budaya darinya pegangan. Lebih kepada hafalan darinya fahaman. Memanglah seribu satu solat ditunjuk ajar, himpunan doa dihafal arabnya, puasa Ramadhan sehari tak tinggal, surah di kalam suci disuruh hafal. Betullah, semua itu penting sekali untuk disemat di dalamnya dada, memang perlu untuk dihafaz, akan tetapi dalam ustaz-ustazah sibuk menyuruh si anak itu mengingat semua yang perlu, mereka bagai terlupa ‘rempahan utama’ dalamnya ia.


Beginilah ceritanya. Mahu dimasak daging ungkep. Ketumbar kisar dicampak, jintan putih ditabur, bawang besar bawang kecil kunyit sudah dimayang, sekali juga dengan serai dititik dimasuk semua dalam minyak untuk ditumis. Semua itu penting sekali dalam menjadikan masak itu cukup rasanya, tapi andai tiada dimasuk daging dicincang, tiadalah berguna segala yang digaul itu. Begitulah umpama kelas agama yang dihadiri. Tibanya di sini barulah terasa kurangnya itu.  Seolah yang ‘daging’ itu yang lupa dimasuk walau yang lain semuanya ada. Hal yang demikian mula dirasa bila ketemu dan berdialog anak itu dengan sahabat yang berpegangan lain. Sedang anak itu berbicara tentang perihal duniawi dengan kenalannya, bualan itu terarah ke buana kepercayaan. Sesudah tahu yang anak itu agamanya islam, anak nasrani itu lantas menanyakan soalan. Tapi yang ditanya ini bukanlah mahu ditahu kepada sisi bagaimana, akan tetapi lebih kepada sisi apakah. Lebihnya kepada apa yang difahami  dari yang diketahui. Macam bila bicara tentang solat, yang ditanya bukan tentang bagaimana caranya solat dilaku, tetapi apa sebenarnya signifikan perilaku itu. Yang tentang puasa pula, tidak ditanya mengenai rukun syarat sah atau perkara yang membatalkan puasa, bila masanya mula puasa, tetapi yang ditanya apa intipatinya apa manafaatnya. Bila ditanya pula perihal pencipta, disuruh terang siapa itu sebenarnya si Dia dan siapa pula itu nabi yang akhir. Setiap satu itu, bila mahu diujar apa yang di dada, didadapati yg tersemat cumanya sekadar beberapa nombor, beberapa senarai perkara yang mana hampir kesemuanya sekadar mukanya. Tidak lah yang setiap satu itu sampai fahamnya ke dasar. Dan dalam diam, dia terasa yang diri itu sangatlah jahilnya. Bertahun sudah anak itu menganut ajaran itu, tapi bila ditanya perihal kepercayaannya, tergumam kesima dia sebentar, sebabnya, yang yang ditanya itu bukan soalan akan rupa luaran sesuatu bahan, bukan apa warnanya bukan apa bentuknya, tetapi apa susunan elektron dan neutronnya, apa unsur jadual berkala yang menjadikan objek itu sedemikian rupa.

Sedang bersembang itu, walau soalan itu sebenarnya untuk anak itu, pandai dia memutar kata dan diarah soalan itu agar dijawab sahabat nasraninya itu. Umurnya seusia, tetapi fahamnya berbeza. Petah bicara anak nasrani itu akan segala yang dipercaya. Diterang segala konsep pegangan, satu demi satu dikupas dalam. Diterang dia dengan fasihnya konsep trinity. Diberita siapa itu roh kudus, siapa itu perawan Mary, siapa itu tuhan bapa, dan siapa itu tuhan anak atau Jesus Christ. Sedang dia asyik bercerita dengan berpandu kitab Injil di tangannya yang jadi rujukan, tiba-tiba kami disapa pemilik kedai. Mahunya menyambung lagi penerangan, akan tetapi kedai makan bertema timur tengah tempat mereka berjamu late supper itu sudah hampir tamat operasinya malam itu. Lalu berjabat tangan dua sahabat sebelum masing-masing memula hala. Dalam langkah pulangnya, berlegar ligat tentang apa yang baru dibualkan. Dan dia bermuhasabah. Apa sebenarnya yang diketahui akan agamanya? Apakah yang membuatkan ia lebih dari sekadar ritual? Apa sebenarnya makna bagi setiap yang dilaku sehari-hari itu? Mengapa tadi tidak terkata apa? Mana pergi semua yang dipelajari? Atau lebih tepat lagi, apakah sebenarnya yang dipelajari selama ini? Dan apa sebenarnya erti hidupnya? Bertalu-talu setiap satu itu menerpa tembus ubun-ubunnya. Jauh menusuk ke kalbu. Tak senang duduk dibuatnya dia.  Malam itu berteleku anak itu di hamparan kusam. Jauh merenung ke luar jendela. Kelip Empire State Building sudahpun malap, yang tinggal hanyalah purnama yang sinarnya terpantul oleh Hudson River yang memisah kampus pembelajaran dengan bandar besar metropolitan yang tidak tidur itu. Muhasabahnya dalam dan panjang. Jauh di jiwa anak itu bersyukur. Bersyukur yang sang pencipta mengejutkannya dari lena ‘agama’. Bersyukur yang dia disedarkan akan segala yang patut diketahui akan pegangannya. Dan bersyukur yang dirasa itu perlunya dia kembali kepada asalnya. Bersyukur yang sang ilahi memberi peluang agar dia meneguhkan kefahaman. Dan yang paling utama, bersyukur kerana Dia tidak memalingkan hambaNya ini daripada nikmat terbesar kurniannya yakni iman dan islam. Mudah sekali andai tadi Dia terus membiar anak itu hanyut dalam kekagumannya akan rakannya itu dan terus berpaling ke akidah baru, akan tetapi belasnya dia sang pencipta, masih inginkan anak itu berada di bawah naungannya. Anak itu sedar, yang amatlah cetek apa yang terkandung dalam dadanya, dan amat jauh sekali dia dari pengetahuannya tentang kepercayaannya sendiri. Perlunya dia kembali menyoal segala yang dipercaya. Mengetahui apakah sebenarnya yang dia percaya. Ia bukanlah semudah menghafal buku teks dan menjawab peperiksaan, ia lebih dari sekadar itu. Yang demikian adalah salah satu karunia yang dirasa amat bermakna dalam pengemudian hidup selama di sini.

Sekadar pengamatan daif anak itu, dia melihat yang manusia itu tidaklah lain terdidik dan terkesan daripada apa yang dialui dan dialaminya secara langsung. Justeru, berbekalkan yang demikian itu, dia melibatkan diri dengan segala yang ada. Dia cuba bergaul dengan pelbagai kelompok. Dia merantau ke lainan ceruk pelusuk. Tidaklah hanyalah untuk melihat-lihat wajah sebenar dunia. Melihat-lihat apakah sebenarnya perilaku masyarakat. Apakah sebenarnya cara mereka memandang dunia, atau lebih tepat lagi, apakah caranya mereka memandang kehidupan. Dan yang dilakunya itu diperoleh darinya pengalaman dan rasa yang sangat berharga. Tapi dalam melilau-lialu memandang sekeliling, ada beberapa perkara yang perlu dijadi asas yang digenggam erat. Sekadar memetik segugus idea yang dilontar dalam karya tulisan Tariq Ramadan: The Quest For Meaning, yang mana makalahnya itu dia memberi perspektif baru dalam membentangkan teori falsafah pluralism. Pada manusia yang sedang dalam kembara mencari makna kehidupan, perlulah dia pertamanya memiliki perasaan rendah hati (humility). Perlulah dia senantiasa menjangkakan yang tidak kira siapa atau apa sahaja yang berlaku atau dijumpa, akan dapat dia pelajari sesuatu dari pertemuan itu. Perlulah dia sedia untuk menerima, mengsisntesis, dan menghadam segala satu yang diterima itu. Perlulah pertamanya dia mengiyakan yang memang terdapat perbezaan sesama manusia itu kerana memang Si Ilahi telah berfirman, “Wahai manusia , sesungguhnya kami menjadikan kamu lelaki dan wanita dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa supaya saling kenal-mengenali. Sesungguhnya, yang termulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa.” (Hujurat:13). Justeru, memang diakui oleh sang pencipta yang kita ini masingnya berlainan. Tidak sama antara satu dan lainnya. Oleh itu memang akan terdapat benda yang dapatnya dipelajari. Makanya, adakanlah sifat rendah hati itu dan kerelaan untuk menuntut dari sesiapa sahaja selagimana yang ditemui itu gelarannya makhluk.

Dalam anak itu cuba memberi makna kepadanya kehidupan, sedangnya dia cuba membangun hidupkan segala nilai kemanusiaan yang rasanya terlena dalam diri, ada jua terlalu olehnya peristiwa yang rasanya sedikit sebanyak berjaya memanusiakannya. Anak itu cakapnya dengan berjenis orang. Sengaja dia berjalan kesana kemari. Siapa sahaja yang terjumpa dijadi teman bualannya. Terdirinya daripada pelbagai kelas masyarakat yang berbeza pegangan, fahaman, bangsa, dan bahasa. Setiap satu yang anak itu temui masing-masing mempunyai kisah tersendiri yang mereka kongsi, dan yang lebih penting lagi, ianya benar dari mulut mereka yang berada di situasi berkenaan, bebas tanpa sebarang olahan dan suntingan pihak-pihak berkepentingan. Yang berbicara dengan anak itu merangkumi mereka dari segenap usia dalam lapisan masyarakat, dari warga emas yang berkerusi roda, veteran perang yang kini kerjanya memandu lori, anak remaja yang sedang berkira-kira hendak berhenti sekolah kerana mahu menjadi ahli anggota ‘kumpulan’, remaja yang hidapnya autism, anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan, dan seribu satu macam lagi. Mungkin mereka sangka yang diceritakan oleh mereka itu hanyalah sekadar rutin harian dan keadaan biasa dalam komuniti mereka, akan tetapi bagi anak itu, setiap satunya adalah seperti halaman baru dalamnya makalah. Anak itu dapatnya perspektif yang baru dalam melihat segala yang ada di sekeliling. Setiap detik yang dilalui tidaklah lain darinya dipelajari sesuatu mengenai penghidupan, dan anak itu seolah disekolahkan oleh suasana akan perihal manusia.

Hingga kini, hampir 4 tahun sudah keberadaan anak itu di rantau gharib, suatu yang dulunya tidak pernah terlintas di kotak fikiran yang berpeluang dia menjejak kaki di tanah orang. Dan sepanjang adanya dia di alam sebelah satu lagi ini,pelbagai sudah rasa dilalu, pelbagai jadi ditatap ain, lain orang dijumpa senantiasa, banyak perkara dijadi bual, dan banyak cara yang nampak diguna oleh lain orang di lain masa. Mungkin ianya suatu yang dianggap biasa oleh kebanyakan orang, tetapi bukan dari lensa kehidupan anak itu. Harian yang berlalu, setiap satunya terencana dengan pelbagai rencam. Walaupun benar pendidikan itu didapati daripada kelas-kelas pembelajaran, tetapi yang dipelajari anak itu banyaknya lagi dari yang luar maktab, dari kiai yang namanya penghidupan. Teman, setakat ini nukilnya dahulu. Anak itu banyak lagi perlunya berguru. Setakat yang ditahu padanya hanyalah titisan dari lautan. Misih lagi dia wajib mengaji. Walaupun segala ilmu mustahilnya dikuasai, tapi cuba dia menggapai setinggi mana tangannya mencapai. Izinkan anak itu terus berjalan. 

2 comments:

iLhaM aZmi said...

i never get tired of this somehow. thank you for being a writer :)

msmi said...

writer? memang jauh dari layaknya. sekadar berkongsi apa yang terlintas. 'sharer' would be better terminology :)