Pages

9/17/13

Ngelamun

Bila malam makin kelam, mengadap berdepan kanta putih. Jemari kembali menggagau. Meraba mencari arah punca. Mungkin semakin lama semakin hilang. Terasa sesat semakin sesak. Mungkin kebergantungan itu salah tempatnya. Atau tersangkutnya harap di medan derita.

Yang baru

Yang baru. Setelah berdikit. Kembali pusing. Arah hala? Entah mana. Bila rasa mula kembali. Sekali punca ditelan arus. Kini lagi yang dicari? Merenung kompas atas segi bermuda. Kumat kamit jarumnya pusing. Tenung langit mencari buruj. Langit mendung semakin ditenung.

2/20/13

Tanggang tanpa sedar


Usah kau menjadi tanggang tanpa sedar
Dalam diam menderhaka
Mengguris tiadanya garis
Lama kudis tidak tertiris
Bengkak tersembulnya tidak sekali
Tapi ngilu bisa tersimpan disana
Mereka asyik menguntum senyum
Sambilnya menyimpan pedih hati tercarik
Kerana permata intan pengarang jantung
Yang dipohon sejahtera senantiasa
Walau sering melupa budi jerihnya
Harapan putus tak pernah sekali
Agar anakanda hidup menjadi manusia
Walaupun mensisih sang tua
Kesal sekali tak pernah tidak
Kerana syarat sayangnya tak pernah ada
Oleh kedua si tua yang bila masa kan dijemput ajal

10/12/12

Afiat

Ingin dilontar satu musykil. Hadam mana yang perlu, jawab mana yang mampu. Mundar-mandir kaki melangkah, kanan-kiri kepala menoleh, hayun beralun tangan melambai, genggam buka jari-jemari. Bolehkah kalian melaku segala gerak seperti diatas? Adakah dirasa ianya perkara biasa? Tiadakah satu rasa istimewa dengan mampunya menggerak segala anggota? Duduk bangkit tiada rasa, tunduk bongkok, cangkung rangkak, jinjit-jinjit lari anak, lompat-lompat dipandang tidak sebelah mata. Memandang itu hanyalah biasa, tanpa sedar ia sebenarnya satu nikmat yang tidak terhingga bagi sesetengah manusia. Yang kuis jari beralun bisa. Tidak ada tidak satunya gerak berlainkan diiringi dengannya sengsara. 

Lazimnya tiada apa yang hebat dirasa dalam menempuh hidup sehari-hari. Rutin harian yang diulang-ulang. Bangunnya tidur, duduk menikmati hidangan tengahari, lunjur anggota membersih tubuh, rukuk sujud di tikar hamparan. Dalam malas-malas kalian membongkok adanya insan yang kepingin sekali untuk menyembam menyembah. Barangkali sudah lupa apakah rasanya dahi itu menyujud di hamparan sejadah. Kerana telah lama hanya mampu dia beribadat dengan hanya duduk beralas lapik kusyen sofa tilam bantal. Setakat yang terlihat, paling kuatnya dengan mampu berdiri tegak ketika takbiratulihram dan kemudiaannya kembali duduk melaksana rukun yang lain. Dalam pintanya seusai ibadat, 'berilah aku merasai nikmat untuk tunduk menyembahMu wahai rabb yang maha kuasa, maafkan aku kerana selalu tidak sempurna dalam penyembahanku terhadapMu'. 

10/9/12

Kelembaja

Bungkal yang terbungkam. Kuat cengkerang luar kasar. Cengkerang terukir tenunan sutera. Terlihat selalu dek mata kasar. Jauh risau segala gusar. Nampak buas garang laksana Panglima Itam di tengah belahan pedang hujanan tombak ombakan panah. Selalu itu yang tersaji. Lantas marhaen tersebut dipandang ulung. Dalam gah pahlawan sebenarnya yang cuba dilawan hanyalah kudis kusta yang mengakar dirongga. Yang meski dikikis buang tapi acap kunjung bertandang. Jelata terahsia dari kurap hodoh nanah lepuh yang hinggap di batang tubuh lendir lembik. Bermuka-muka lakon teater layar usang. Lain ketemu lain tindak lain wajah lain suara lain bicara lain representasinya. Sampai tetiba langsung lupa mana yang asli. Bijak sepertinya Kurita Mimik laut dalam. Khatam tidak perang pancung tusuk hunus elak tepis dengannya nafsi. Diwartakan sudah solusi agung yakninya kalam suci tradisi nabi. Roh diri degil amat sungguh sekali. Azali dulu tunduk patuh. Mengusia sejagung besar sekali besarnya kepala. Baring termangu si fulan ini waktu dinihari. Merenung kosong buruj-buruj persis titik pena di kanvas angkasa. Tika ini, sepertinya ungkapan itu benar sekali kena rasanya yakni putih mengandung awan, kelambaja mengandung hujan. Mungkin yang akan menatap ini jengkel sudah pada genrenya. Banding sebenar lalunya tidaklah seonak laluan yang lain, tapi kecemerkapan diri mengatur langkah hampirnya menggelincirkan diri ke buana puaka. Kembali proses. Jinjit-jinjit atas kerikil. 

7/3/12

Awan (1)

Sabtu; 6/10/12; 2345; Seat 36E; Boeing 737 MAS

Flight Data

Eestimated time of arrival              -  20:04
Local time at destination (Narita) -  12:48
Local time at origin (Los Angeles) -  20:48
Time to destination                          -   07:18
Outside temperature                        -  -43 C
Altitude                                               -  10972 km
Distance to destination                    -  6013 km
Distance travelled                             - 3145 km
Ground speed                                     - 870 km/h
Head wind                                          - 42 km


Bismillairrahmanirrahim

Okay. This is it. Inilah dia empat tahun yang kini berjejak masa akhir. Tika ini, sedang kau membatu cuba mengimbas detikan saat yang telah dilalu sepanjang bekepergian di rantau orang. Kadang ada yang bertanya, lebih kepada bukan kadang, tetapi acap kali, sering tiap selalu sungguh, soalan diaju kepada perantau, apa sebenarnya engkau disentuh selama menjadi anak dagang. Engkau yang dari asalnya kampung, engkau yang duduk cumanya bawah tempurung kecil, engkau yang dunianya cuma pekan kecil Layang-layang, yang boleh katanya asing dari alam luar, diberi nikmat diberi berkat melihat-lihat dunia sebelah satu, yang siangnya sama dengan kelam malam di sini, yang panasnya kadang setara tetapi musim beralih bukan suatu yang pernah kau bayang atau imi dapat dirasa.

Sedang kini telinga dihalwa dengan alunan suci Ar-Rahman, dan yang sering diulang yang kau sering ditanya-tanya, maka nikmat tuhan yang mana yang kau dustakan? Memang mustahil untuk kau menghitung setiap satu yang dikurnia, tetapi marilah cuba meski atas keterbatasan fakulti mindamu menelah seperkara dua yang kau timba. Agar dapat ia disemadikan dalam rupanya tulisan, kerana memorimu selalu pudar dibaham saat. Engkau masih setahun jagung, engkau masihnya mudah mentah, engkau masihnya hingusan dalamnya hidup. Sepertinya istilah makan garam, engkau masih lagi menghisap gula. Walau begitu, yang empat tahun di tanah gharib ini memanjang buka pandangmu tentang resam dunia, cubitan halus perihal hidup. Segulung kertas telah kau genggam. Dan itu misi kau disertakan dan kini kau menapak berat dengan gulungan itu, dan sepanjang jalan kau turut menggapai sesikat dua bekal tambah untuk kau bertatih keluar dari dunia idealmu, dari sangkar montel ke rima gila kapitalis. Cuba kau bentang gapaianmu itu, agar kau tak lupa barang sedikit yang telah menyentuhmu.

Marilah bermula...

Maaf andai tulis ini tidak berangka tidak bersusun. Aku cuma mahu menukil segala yang berawangan. Mungkin berulang mungkin menjinjit. Aku hanya membiar tangan terus mengukir ilham yang terbit muncul seiring naik mentari di ufuk timur. Sebagai pemula bicara memandangkan tidak pasti yang padan elok, hembuslah darinya kisah semenjak bergelarnya siswa.

Difikir-fikir, aku belajar tentang perkara yang kata dasarnya 'harga'. Aku diajar beberapa perkara mengenai perihal kata terbitan dan kata dasar itu. Menghargai, dihargai, penghargaan. Aku diherdik hidup agar menyemak difinisi beberapa kata asas yang disangka difahami erti tetapi di hujung ini aku seakan sesat dan buntu dalam mencari makna setiap satu. Kawan, sabar, gembira, percaya, cita-cita, impian, inspirasi, dan bermacam patah yang nampaknya mudah. Aku dihambat agar menganalisa setiap satu jendela yang ku guna pakai dalm merasional menafsir patah-patah suku tersebut.

Aku terasa mahu mula bicara tentangnya gembira, atau dalam konteks yang lebih makna, kegembiraan...



5/31/12

0846

Menghitung detik-detik yang berlalu. Tempat berjejak semenjaknya esmpat tahun yang lalu. Tanah yang dahulunya gharib bagai sudah menjadi laman akrab lagi karib. Sisi dunia yang tak pernah diimpi kan dikunjung tiba kini terpaksa dilambai pergi. Apakah ini sifir biasa atau sihir angkasa? Aku membesar dari kekanak dididik guru ulung yakni Tuan Hidup nama ditanda. Kitaran ia kitaran manusia kitaran biasa. Saat bersilih orang berganti. Manusia yang hadirnya tidak sama setiap satu. Dalam berkenal tiap wajah laksana cebisan kecil lakaran besar. Anak-anak wayang yang melakar layar segugus cerita berkarang tajuk namanya kawan...

Lintah

6/22/12

Aku melihat mereka aku melihat aku. Aku melihat mereka aku melihat apa yang aku ada. Aku melihat mereka aku nampak aku yang dulu dan mungkin yang masih ini. Aku kembali mencari makna diri. Adakah aku sudah cukup untuk mati. Macam mana aku mahu terus hidup? Aku boleh bernafas senang. Tapi aku pilih untuk bergerak dengan bersesak. Aku kembali kedalam menyoal. Macam mana aku menjadi aku? Adakah aku makin hari makinnya manfaat atau hanyalah bertambah bangsat? 

6/4/12

Cerita Pertama

Cerita perdana cerita pertama cerita utama cerita lara. Izinkan hamba menghikayat kisahnya. Tercoret akan perihal ghulam dalam kembara meredah jelata membidas belantara mencari rasa. Indah suasa tak sikit dapat mengilau pancar cahaya segugus butir dipangkal rasa. Si ghulam asal marhaen tak punya apa. Sisir langkah umpama napoh kecil ditengah semesta. Cuba untung melunjur jari dengan hajatnya mencuit kuis helaian sutera walau diri cumalah perca. Ghulam berlagak laksana permata sampai terlupa asalnya kaca. Ingatnya singgah dapat bertepuk tapi rupanya angin kosong hanya menyambut. Mungkin belum tiba lagi detiknya ya ghulam. Jauh lagi kau perlu menapak. Bendung langitmu ya ghulam. Jangan biarkan kabus tutup litup mentari. Izin tuhan esok mentari tetap menerik dan bumi pusing terus bergolek. Selak helai muka selembar. Mentah lagi dirimu ghulam. Jangan engkau hanya terpaku. Jangan engkau diam di situ. Wahai ghulam, ayuh terus hayun langkahmu. 

5/10/12

Dia Yang Dulu Kurang Bicara

Lewat ini, tiap kali bicara mengundang resah. Entah mengapa. Nadanya bicara semakin menusuk. Tahunan lepas tidak pernah perasan yang telah dia lalui pelbagai ragam berbagai tingkah. Tiap patah nada bersahaja tapi bila diamati ia lebih sekadar kata. Ia luahan jiwa lontaran emosi. Satu fasa yang baru. Mungkin diri yang alpa. Tidak menyedari hakikat kehidupan. Yang ada sering dilupa. Yang ada disambil lewa. Makin lanjut usia. Manusia. Bilakah akan dihargai segala dimilik. Kenapa hanya bila hilang bila terhantuk barunya terngadah. Mengapa tidak dihargai segala yang dimilik. Makhluk yang membelai tanpa pinta dibalas. Satu-satunya makhluk yang mengharap agar yang dibentuk menjadi lebih baik darinya. Tanpa syarat. Meski kadang bukan reti menyampai kata tetapi titis jerih cukup buktinya. Tetapi bila yang kurang sabda itu tiba-tibanya mula sedikit meluah rasa, ia jadi suatu yang berbeza. Mungkinkah kerna berzaman tidak bersua jumpa? Sayup-sayup gema suara berdengung. Dia dalam berkata kadangnya serak. Yang diuntai dapat dirasa bait ikhlas dari ufuk sana. Di sering berkata yang dia tak punya apa. Tapi insan-insan yang dimiliknya adalah dunia. Tetapi adakah dunia yang dimiliknya itu sedar akan hakikat? Ataupun diri yang dipandang dunia memandang kembali diri itu tidak lebih sekadar butir pasir yang hilang dilamun ombak. Bila dia berkata, sangat sekali dia memilih bait. Kerana padanya dia bercakap dengan dunianya yang segala, perlu ditatang dengannya kasih. Tidak sekali pernah dia meninggi lafaz kata. Tidak ada selainnya kagum. Sama masa datangnya kaget. Berjejak ke gagang. Sempatkah masa? Jarum lalu detik bersilih. Hitung hisab taksir telah duga. Tidak mampu melaku apa. Takdir tidak bisa digugah. Hanya pemegang Esa mampu mengubah. Tika ini. Hanya bisa diam sahaja. Menadah usah kalah. Mencuba menguat percaya. Kerana itu sahaja yang ada.