Pages

2/6/12

Cerita si Dia

         Assalamualaikum. Yang ini sebenarnya segan untuk berbicara. Dan lebih kepada takut. Segan sebab dengan yang tahu tak seberapa tapi tiba-tiba mahu berkata-kata, dan takut kebenciaan disebab oleh benda yang diutara. Sebab telah berfirman yang maha Esa:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah-kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (As-Saf, 61:2-3)

Dan yang mahu dikata ini pula perihal insan yang mulia. Yang jauh dari cacat cela, yang setiap laku setiap satu sudah diwahyu. Jadi yang ini sebenarnya anggaplah bermonolog. Berdialog mengingatkan diri sendiri. Andai ada yang tak kena, itu semua dari diri ini yang banyak khilafnya, dan harap tambahkan lah mana yang kurang, tegakkan lah mana yang bengkok, ingatkanlah mana yang terlupa.

Februari. Bulan yang digembar gemburkan tentang kasih, tentang sayang, tentang cinta. Sentimen yang sering diutarakan, diudarakan, dan ianya satu rasa yang sememangnya menjadi fitrah bagi yang bernama manusia. Masing-masing kepingin dicintai dan mencintai, dan andai yang berepuk sebelah itu, tidak terperi sakit dirasai. Dan yang dingini itu selalunya yang teristimewa yang termulia, yang di pandangan majazi ini tiada lah cacat celanya.

Bagaimana kiranya andai ada yang mengingini diri ini seorang yang sudah sedia maklum mulia akhlaknya, indah perilaku, baik budi pekerti, baik serba serbinya, dan dengan girangnya dia yang memulakan percintaan itu menghulurkan tangannya untuk bertepuk sambil menunggu untuk membalasnya, apakah dangkalnya andai tidak disambut tangan itu. Mengapakah tangan mulia itu tidak disambut, sedangkan dia lebih dari layaknya. Walau martabatnya jauh lebih tinggi, walau tarafnya memang tak tergapai, semua itu tidak diendahkannya. Dia yang mulia itu  merindukan dan mendambakan seseorang, dan seseorang itu adalah kalian. Kalian semua.

Cerita ini cerita yang biasa, yang sering diperdengar, tetapi di kala ini, sekali lagi biar kita melawat cerita ini.

Ia bermula dengan akhlak terpuji. Ia bermula dengan dipercayai. Ia bermula dengan rendah hati. Ia bermula dengan kesedaran. Ia bermula dengan kerunsingan. Ia bermula dengannya mencari kebenaran. Ia bermula dengan pengorbanan. Ia bermula dengan kasih sayang. Dia datang dari puak mulia dia datang dari kalangan yang terpuji dia datang dari bangsa yang dihormati. Dalam kalangan yang mulia itu, dia lebih dikenali, dia dipercayai, dan dia dihormati. Mereka berkata, andai seorang mahu berjalan dan risaukan kebajikan isterinya, amanahkanlah kepadanya kerana dia tidak akan mengerling menatap wajah dengan nafsu, andai ada mahu menyimpan harta, berilah kepadanya kerana dia tidak akan pernah khianat, andai mahu dihakimi permasalahan, rujuklah kepadanya kerana dia tidak pernah sekali berkata dusta.

Semua di sini tahu yang dia mengasing diri pabila dia dapati ada yang tak kena dalam kalangan masyarakatnya dan tika dia menyendiri, dia didatangi Ruhul Kudus penyampai wahyu. Tapi wahyu tak datang dengan senang, wahyu datang dengan beban. Bukan calang beban yang datang. Beban yang tak sanggup untuk digalas gunung. Yang andai diturun atasnya gunung, nescaya runtuh akan beratnya. Beban yang berat hingga unta yang dikenali dek kekuatannya menongkat beban terduduk tak upaya bergerak. Beban yang membuatkan dia berpeluh di kala dingin suasana. Beban yang datang dalam bentuk dengungan loceng yang bila mana deterima dia pengsan tak sedarkan diri. Beban yang hanya akan membuatkan dia dibenci pelbagai orang dan beban yang akan membuatkan dia diperangi dan dimusuhi.

 Tapi dia tahu yang beban ini berat, dia tahu beban ini susah. Dia dipeluk hingga sesak nafas, dan juga dia yang berselimut itu disuruh bangkit dan memberi peringatan.  Dan dia tahu yang datang ini bukanlah sebenarnya beban, tetapi pesan yang menunjuk kebenaran, supaya yang tercari-cari berjumpa jalan keluar dari kegelapan. Pesan yang hanya dengan itu mampu membawa yang disayanginya itu ke hanya jalan yang mengeluarkan dari sengsara dan tipu daya.
  
Meletakkan ke dalam perspektif, hidupnya bukan mudah, hidupnya bukan diisi dengan gelak tawa, riang ria bercanda mesra. Lahirnya sebagai yatim, di waktu yang mana ketika itu salah silah sangat dipentingkan, dan tika itu yang mana anak yatim rendah langsung tidak dimuliakan, dan untuk memula kan hidup dengan keadaan yang demikian, sudah pasti orang yang biasa dihambat rasa ketidaksenangan. Tanpa ayah, hanya ibu tempat  menagih kasih. Seolah dipermain nasib, ibu yang seorang itu ketika terjalin sudah hubungan mesra, ketika baru upaya mengenal rupa, diangkat roh ditinggal piatu. Dan sesudah itu, dia diambil oleh datuknya yang menjadi seolah ayahnya yang pertama, turut dipanggil menghadap ilahi. Sesudah besarnya, dikurnia akannya anak lelaki, yang ketika itu memang dijadi kebanggan, dan dijadi mercu tanda. Tetapi sekali lagi dia seolah dizalimi, anak lelaki yang seorang itu pun di seru kepada yang satu. Sudahnya itu, bukan dia diberi simpati, bukan nya dia dikonsolidasi, bahkan dia di layan sebaliknya. Sudahlah anak yang seorang yang dirasa segalanya hilang, dipanggil abtaar (yang terpotong putus), sedih dalam yang dirasai, ditambah dengan dengki, nista, cerca masyarakat, bukan suatu yang biasa terbayang.

Sudah itu, seorang yang dikasihi yakni teman hidupnya dituduh berlaku sumbang berbuat dosa berlaku khianat. Cuba dibayangkan, bilamana semua yang sekeliling memandang asing, dan tiba-tiba ada yang datang memberi harapan membina kepercayaan, tetapi tiba-tiba yang kononnya dipercayai itu sudahnya khianat, remuk rudum rasanya dia bukan kepalang, seolah tinggal sendiri seorang. Tapi mujur yang itu sebenarnya palsu, yang maha Esa menjaga mulia teman hidupnya melalui ayat dalam kitab sucinya.

Selama hidupnya, tidak pernah dia mementing diri. Semua buatnya hanya untuk kebaikan semua yang dikasihinya. Tetapi niatnya sering disalah tafsir. Dia dimalukan pelbagai cara. Dia dihambat diugut mati dari tempat lahir tempat permainan tempat besarnya. Dia dihamun cerca nista. Dia dicedera dia diluka. Disakiti segenap sisi. Bukannya dia berbuat salah, bukannya dia membawa kemusnahan, tetapi hanya lembaran kebaikan yang mahu dihampar, rahmat yang membawa berkat.

Semua pasti memang tahu yang ini. Tetapi sejauh mana pernah dikira. Seolah nasib memang bukan sebelahnya. Seolah dia tidak selayak terima kasih sayang. Seolah dia yang paling malang dalammnya dunia. Segala sayang yang boleh dibayang, kebanyakannya dia tidak punya. Seolah tidak ada ruang untuk nya terima sayang. Meski begitu, ironinya, dia yang boleh dikata paling kurang terima sayang adalah insan yang paling penyayang. Dan satu pasti yang boleh dikata, sayang dia kepada kalian-kalian lebih dari yang dapat terbayang.

Banyak yang jadi yang tunjuk sayangnya dia. Sayangnya dia bukan direka, sayangnya dia dengan tulus. Pernah suatu ketika, berjalan bersama Al-Amin itu beberapa sahabat yang lain, dan salah seorang dari sahabat itu mengambil sebiji telur dari sarang seekor burung. Penuh runsing dan resah hati, burung itu menghadap dan mengibas-ngibas sayapnya di hadapan dia. Terlihat akan kondisi burung itu yang murung, dia berpaling ke arah para sahabat lalu bertanya siapakah gerangan yang menyebabkan burung malang ini gelisah. Dan bilamana mendapat tahu yang sebenarnya telur nya telah diambil, dia mengarahkan gerangan yang melakukan sedemikian rupa memulangkan kembali telur ke tempat asalnya. Terlihat belasnya dari satu sisi ini. Ketika di kala masyarakat masih tercari-cari ertinya sayang sesama manusia, dia sudah melimpahkan sayangnya sampainya haiwan.

Antara lain yang terakam adalah berkenaan yang berlaku beberapa hari sebelum wafatnya. Dia itu selalu dikelilingi sahaba yang mengasihinya, yang sama-sama di medan tempur perang, yang sama-sama disakiti dicederai, yang sama-sama dihambat keluar dari kediaman, yang sama-sama dicatu dari bekalan keperluan harian, yang sama-sama dengannya waktu susah watu derita nya dia. Walau dengan semua itu, suatu ketika sedang dia bicara dengan sahabat-sahabatnya itu berkata dia kepada mereka: “Aku sangat merindui untuk bertemu dengan saudaraku. (tika itu dia sudah payah sekali untuk berjalan sendiri tanpa bantuan. Dan tanda-tanda sakitnya jelas kelihatan jelas terpapar atas darinya). Padahal ketika itu dia sedang bersama-sama dengan orang yang berada di sisi tika susah tika senangnya, tika islam itu masih janggal hingga islam itu dikenal tersebar. Dalam sahabat itu terpinga-pinga mendengar kata itu, mereka bertanya: tidakkah kami ini saudaramu? Lalu dia menjawab: kalian ini adalah sahabatku, tetapi yang ku gelar saudara itu adalah mereka yang percaya akan diriku tanpa sempat tanpa dapat melihat diriku”.

Dia kepingin berjumpa kita. Tetapi bagaimana diri ini? Dia berbuat semua yang termampu untuk umatnya. Semua tidak asing dengan cerita turun naik dia ke langit meminta kurang akannya solat. Semua tahu akan kisah perangnya yang berluka-luka. Makin hamun kata kesat cerca nista bukan kepalang. Semua dilaku atas namanya sayang atas namanya rindu. Untuk siapa? Untuk umatnya untuk saudaranya. Tapi kita? Apakah yang telah kita buat? Aakah layak terima yang dikata dia teman yang dikata dia saudara itu? Siapa sebenarnya dia ini? Apakah yang kita tahu tentangnya? Adakah setakat nama dan sedikit biodata? Adakah sedikit peristiwa adakah cuma secebis perkara?

Tika ini banyak sekali yang menggalas namanya. Termasuklah diri ini. Tapi kadang terasa malu bila dipanggil nama itu. Bukan malu kerana punya nama tersebut, tetapi malu kerana tidak mencermin menggambarkan si pemegang nama itu. Apakah yang dilakukan dalam sehari-hari? Dia setiap masa memikir akan kemaslahatan ikhwan dan ikhwahnya. Bagaimana pula yang ini?  Ramai sekali yang mencintainya sepenuh hati. Satu cerita oleh oleh Suhail bin Amr. Suhail bin amr dihantar untuk berunding dengan insan itu di Madinah. Suhail boleh dikata seorang duta yang tika itu sudah berunding dengan kerajaan agung seperti Parsi dan Roman yang merupakan antara gergasi kuasa di zaman itu. Dan setiba nya Suhail ke Madinah, dia pulang memberitakan kepada Quraish. Sudah aku berkunjung pemimpin-pemimpin empayar-empayar besar, dan sudah aku lihat segala macam layan dan hidang, tetapi tidak pernah sepanjang lawatku ini berjumpa dengan seorang yang dikasihi sepertinya. Sehingganya bilamana dia mengambil air untuk menunaikan kewajipan, sahabat sekililingnya berebut-rebut untuk mendapat kan titisan air yang berderai darinya. Dan lantas dia pulang dengan satu kesimpulan. Buatlah apa sahaja yang kalian mahu terhadap insan ini, tidak apa yang akan terjadi kerana pastinya dia tidak akan dilepaskan oleh sesiapa yang mengikutinya.

Ada satu ketika seorang perempuan bertemu dengan isteri insan itu meminta kebenaran untuk menjenguk pusaranya, dan bilamana diberikan kebenaran, dengan hanya melihat tempat semadinya insan itu dia meratap, genang matanya hingga ke akhir usia. Cuba fikir sejenak. Apa yang dirasai bilamana nama itu disebut. Apa yang dirasai bila didengar tentang lahirnya dia kedunia. Dan apakah yang dirasa bilamana wafatnya diberitakan. Jujur dikata, hingga kini diri ini tidak lagi berasa apa-apa. Bukan diizin untuk meratap, tetapi bagaimana katanya sayang kalau hilangnya dia tidak terasa. Adakah hati itu penuh diisi dengan segala macam segala yang lain? Sedangkan ada dikata yang tiap kamu itu belum percaya selagimana insan itu tidak kamu kasihi lebih daripada anakmu, ayahmu, dan seisi dunia.

Dan di hari akhir nanti, seorang itu akan bersama sesiapa yang dikasihinya. Pernah dia ditanya tentang bila hari akhir itu, dan jawabnya apakah yang telah si penanya sediakan? Dan yang si penanya menjawab, tidaklah banyak solatnya, tidaklah banyak puasanya, dan tidaklah banyak sedekahnya, tetapi satu yang pasti yang Esa itu dan si dia itu sangatlah dikasihi dan lantas insan mulia itu membalas yang kamu akan bersama dengan siapa yang kamu sayangi. Justeru, apakah sebenarnya yang mengisi hati itu?

Dan andai betullah dikata percaya dan andai betullah dikata sayang, mana buktinya? Kalau betul katanya pasti, mampukah diri meminta mati? Yakinkah bila dihisab nanti?

Katakanlah wahai Muhammad: “… Jika kamu mengira bahawa kamulah kekasih Allah, bukan orang yang lain, maka harapkanlah kematianmu dengan memohon kepada Allah agar kamu dimatikan sekarang juga, jika betul kamu orang yang benar.” (Al-jumuah, 62:6)
Sedikit membentuk hati dari keras jadinya ini cumalah satu katanya yang dipetik. Sempurna sudahkah apa yang termilik? Satu cara untuk menakwil, andai insan itu masih belum punya tempat tertinggi dalamnya hati, jauh lagi perlu didaki, banyak lagi perlu dibaiki, setiap satu perlu diteliti.

 Terbit sedikit secebis rasa,
Samar-samar di pelusuk sana,
Dalam diam daku memendam,
Satu rasa yang jauh tersulam,

Suatu yang aneh untuk difahami,
Yang buat hati berdetak laju,
Setiap degup rindu bertalu,
Mendamba hadirnya setiap waktu,

Menitis butir yang lama tergenang,
Kerna kepingin bersua insan tersayang,
Insan yang membantu setiap sesuatu yang datang bertandang,

Menunjuk arah keluar dari kedurjanaan kelam kusam,
Yang dijumpa diseru kembali semangat watan,
Diberi sinar hidup harapan,
Atas kuasa yang maha esa,

Dia menenangkan jiwa yang gelisah,
Dia menyenangkan mata yang tergugah,

Meski dia jiwanya mulus, andai terlihat olehnya durjana,
Yang mulus terus bertukar arus,
Tika ini cuba dipejam membayang bayang,
Membayang hampir dekatnya dia,
Walau tak upaya menatap wajahnya,
Cukuplah bayang pengubat lara,

Andainya dia ada di sini,
Apakah bisa dia berbuat?
Menyaksi ummat bergelumang dosa, nafsu, maksiat?
Tika yang kononnya ummat umpama tak melihat
Hanya terpaku tersenyum kelat

Malam ini, kupohon ampun atas semua,
Meminta belas ihsan nasihat,
Meminta dikurnia sedikit hemat,
Agar berupaya terus berkhidmat,
Memerang segala yang datang bertandang,
Setiap sudut setiap sisi,
Pelbagai cara bermacam taktik,

Tetapi
Yang itu sebenarnya bukanlah yang utama,
Ada satu sebenarnya tersembunyi,
Sebenar benar musuh yang paling durjana,
Adalah ini yang ada di sini,
Seketul daging yang dibalut tubuh.

References:
1.     Terjemahan Al Qur'an Al Karim. (2010). Al Hidayah House of Quran SDN. BHD.
2.     Al-Awlaki, I. A. (n.d.). The Life of Muhammad (PBUH) (Makkan Period) CD 1.
3.     Al-Mubarakpuri, S.-u.-R. (2002). Ar-Raheeq Al-Makhtum, The Sealed Nectar. Darussalam.
4.     Webb, S. (2011, July). SuhaibWebb. Retrieved from Your Virtual Mosque: http://www.suhaibwebb.com/islam-studies/prophet-muhammad/missing-the-man-i-never-met/

No comments: