Pages

10/12/12

Afiat

Ingin dilontar satu musykil. Hadam mana yang perlu, jawab mana yang mampu. Mundar-mandir kaki melangkah, kanan-kiri kepala menoleh, hayun beralun tangan melambai, genggam buka jari-jemari. Bolehkah kalian melaku segala gerak seperti diatas? Adakah dirasa ianya perkara biasa? Tiadakah satu rasa istimewa dengan mampunya menggerak segala anggota? Duduk bangkit tiada rasa, tunduk bongkok, cangkung rangkak, jinjit-jinjit lari anak, lompat-lompat dipandang tidak sebelah mata. Memandang itu hanyalah biasa, tanpa sedar ia sebenarnya satu nikmat yang tidak terhingga bagi sesetengah manusia. Yang kuis jari beralun bisa. Tidak ada tidak satunya gerak berlainkan diiringi dengannya sengsara. 

Lazimnya tiada apa yang hebat dirasa dalam menempuh hidup sehari-hari. Rutin harian yang diulang-ulang. Bangunnya tidur, duduk menikmati hidangan tengahari, lunjur anggota membersih tubuh, rukuk sujud di tikar hamparan. Dalam malas-malas kalian membongkok adanya insan yang kepingin sekali untuk menyembam menyembah. Barangkali sudah lupa apakah rasanya dahi itu menyujud di hamparan sejadah. Kerana telah lama hanya mampu dia beribadat dengan hanya duduk beralas lapik kusyen sofa tilam bantal. Setakat yang terlihat, paling kuatnya dengan mampu berdiri tegak ketika takbiratulihram dan kemudiaannya kembali duduk melaksana rukun yang lain. Dalam pintanya seusai ibadat, 'berilah aku merasai nikmat untuk tunduk menyembahMu wahai rabb yang maha kuasa, maafkan aku kerana selalu tidak sempurna dalam penyembahanku terhadapMu'. 


Meski demikian tidak pernah tidak dia lupa untuk mensyukuri pemberian zat yang maha agung. Bilamana sengat dirasa dipelosok tubuh, jarang sekali darinya mengeluh, bahkan menerima dengannya rela, dan pohonnya diampuni segala dosa dan mungkin ini salah satunya cara untuk dia mengkafarah salah laku sepanjang dulu. Dalam sendiri yang pada pandanganku sengsara, titis matanya selalu tumpah, tetapi bukanlah meratapi nasib malang diri, tetapinya hiba mengenangkan nasib insan lain yang terlantar sakit. Sedangkan mata ini sudah berat sekali memandang nasib yang dipikul, bahu yang memikul beban itu lain pula kisahnya. Perit maung diri seolah dipadam hilang kerana kenangnya pada insan sekeliling yang menderita. 

Urusan sehari-hari yang kadang tidak pun dipandang tanpa rasa syukur, seperti mampunya melangkah ke kakus untuk menunaikan hajat dengan sempurna. Adakah kau kira itu perkara biasa? Tidak wahai teman. Adanya insan yang berbuat itu tidaklah mampu. Terpaksa disedia senantiasa lampin dewasa di sisi. Kerana qada hajat itu suatu perkara yang payah sekali. Untuk bangkit dari katil pembaringan, kemudiannya menghayun langkah tanpa gelincir, menguis pili air untuk bersuci, dengan sendi yang seolah dipatri mati, mungkin payah untuk dimaterialisasi oleh sebahagian, tetapi itulah realiti ada yang terjadi. Keterbatasan walau untuk mengurus diri. Matanya sering tumpah bilamana terlantar kaku sedang diurus tinja dan yang lain yang disisih tubuh. Maaf berulangkali diucap-ucap kerana ketidakmampuan untuk menyuci diri, atau pabila dia menumpahkan di katil pembaringan pabila tidak sempat dan tiada upaya untuk bergerak.

Boleh menghadam segala hidangan. Semuanya bebas menjadi bolus-bolus yang melalui esofagus. Kalian rasa itu perkara biasa? Sekali lagi tidak wahai teman. Selalunya hanya kanji berupa roti dan susu menjadi santapan. Tiada selera selalu asbabnya. Tetapi bilamana mula terbit mengidam mahu merasa, lidah selalu katanya mahu, tetapi perut meragam menolak selalu. Kembalinya balik kepada suatu yang mudah larut, bihun halus yang dilembikkan sup, atau kurma dibiar celup dalamnya air. Bilamana pula perut dan lidah sama memberi izin lalu, cabarannya pula dalam mengisar hancur makanan-makanan berjasad kasar. Sepenuh mulutnya, hanya gusi semata-melainkan 4 butir gigi atas depan yang masih tersemat. Butir yang lain semua terpetik kerananya mencucuk-cucuk bisa batang setiap biji. Andai pula haus dahaga kunjung bertandang di pembaringan, tidak tercicip titisan air melainkan dengan terdongak sedikit kepala dengan disua botol yang penyedut dirapati ke bibir. 

Lena jauh sekali darinya nyenyak. Dengus acap silih berganti. Dihaluskan rintih tika larut malam karena tidak mahu menggangu lelap ahli yang lain. Sayup-sayup rengusnya terlepas. Selalu tersulam sama esak-esak yang sedaya upaya disembunyi. Yang kadang berlaku pedih bisa sebab ditindih. Bukan apa yang tertindih, tetapi cuma bilamana lelapnya dengan mengiring, tangan tertindih di bawah dada, atau silang tangan kanan bawahnya kiri, atau lutut yang saling bertindan. Tidak mampu walau untuk mengalih peha kiri yang menindih peha kanan, atau kadangnya cuma untuk berbaring setelah mengiring, tiada upaya walau cuba untuk memusing.

Susuk tubuh yang tersusut. Dari dahulunya seorang tangkas, dari dahulunya seorang yang cergas, kini kerekot anggotanya semakin jelas. Jalan nya tidak melainkan dibantui tongkat, atau kadang geraknya cumalah diatas kerusi roda. Jemari yang tidak upaya dibengkok kerana keras sudah segala sendi. Justeru kelihatan sepertinya dia sentiasa menyentuhkan ibu jari tangan dengan jemari telunjuk, hantu, manis, dan kelingking yang diluruskan. Jemari kaki lain pula kisahnya yakni si telunjuk kaki tersilang dengan si jari hantu. Sebahagian perihal tubuh yang terkaku. 

Meski begitu tidak pernah tidak dia berbicara melainkan dikuntumkan senyum dihujung bicara. Mana dikutip sisa tenaga untuk senantiasa ceria dan gembira (baca: sedaya upaya mengaburi derita dari pandangan insan lain). Cekalnya cekal seorang perwira. Bagiku dia insan hebat terkuat. Tidak betah menyerah kalah. Semangat sekental berlian dicanai. Sebagai pemerhati aku selalu tunduk membisu. Malu dengan kerapuhan semangat. Malu dengan kekufuran nikmat. Malu dengan keluh-kesah pabila ditimpa barang sesuatu yang tidak seberapa. 

Perenggan ini dikhususkan untukmu wahai insan yang dikasihi. Janganlah sekali kau pohon kemaafan dariku. Kerana ini secebis tidak terbanding dengan apa yang telah kau menikmatkan diri ini. Tidak layak untuk diri ini menerima maafmu kerana andai ada yang perlu memohon maaf, tidaklah lain akan diri ini yang sewajipnya memohon ampun kerana sekian lama membiarkan derita ditanggung. Melampiaskan tugas kepada bocah-bocah kecil yang baru hendak mengenal dunia dan juga kepada dia yang sudah lebih setengah abad itu. Sedang diri ini bersuka-suka dalam dunia sendiri. Setelah kau beri segala yang termampu ketika sihatmu, diri ini meloloskan diri di kejauhan, sedang bocah-bocah di rumah pula yang berada disampingmu ketika susutnya tahap sihatmu. Tahun-tahun yang berlalu mustahil untuk diputar kembali, tetapi untuk yang mendatang ini, izinkan diberi bakti sekadar yang mampu. Mustahil kesal yang lalu dapat dipadam, tetapi harapku jangan kukesal dengan yang sedang, dan bakal terjadi. Sering aku berkata yang ingin aku berbakti pada sejagat, tetapi andai dirimu pun aku tak dapat memberi manfaat, alangkah rugi wujudnya kudrat,  sedangkan kau punca segala berkat.

Pada sahabat yang mungkin menatap nukil ini, bukanlah niat meminta belas, tetapi cuma merakam barang secebis kisah hidup, agar sedikit iktibar dapat dicedok, akan segala pemberian dari ilahi. Tidaklah diri itu ditimpakan kepayahan melainkan ada lagi yang lebih menderita yang lebih sengsara. Sedang ada yang berkeluh-kesah akan perkara-perkara yang kadangnya bukanlah apa, sering meminta sesuatu yang tiada, sedang dia lupa apa yang dimiliki. Sihat sebelum sakit bukanlah hanya sekadar cliche, tetapi sesuatu yang pasti tentu berlaku. Setiap insan itu walau sihat sepanjang hayatnya, ada satu sakit yang pasti dihinggapi, iaitu ketika izrael datang mengunjung.  

2 comments:

iLhaM aZmi said...

seteguh manapun jasad menahan, yg tahu derita cuma si hati. mujur doa yg beriman didengari Tuhan, untung sabar dan ikhlas pasti dikurnia tanpa batasan.

jangan dibiar takut dan sedih menghijab kudrat utk merasa bahagia, kerana stiap saat itu cukup bermakna dgn nikmat yg belum terlihat. hidup tetap hidup. derita itu mmg lama, tp bukan selamanya.

yg kekal itu nikmat di syurga. smg sampai saat nnt, istirahatnya di sana.

wak doakan.

Hilmi Dreadlock said...

teruskan berbakti kepada keluarga dan masyarakat. IA, pasti ada balasan yg baik.

salam