Pages

9/20/11

Hati Si Tua

Bertamu semalam ke rumah tua. Bicara intim dengannya si nenda. Dikisah tentang hidup yang seolah baru semalam masanya muda. Perihal anak yang ditatang bagai minyak yang penuh. Dikasih disayang tanpa dileka. Kemudian lahir dari anak itu penyambung zuriat. Tambah bahagia pada si tua. Oh. Sayang sungguh si nenda itu pada cucu perempuannya. Foto terbingkai di birai jendela. Betul bersebelah katil pembaringan. Diusap, ditenung, dikucup selalu. Hanya itu kininya mampu. Sayangnya sekadar mulus dihembus. Harap tiup angin sayang kan sampai mengusap ubun kepala si kecil itu. Membelai halus pipi gebu itu. Dalam mengenang cucu tersayang, terlihat titisan mutiara tergenang. Berkaca kelopak matanya. 


Sungguh. Banyak kali sudah jadi sebegini rupa. Hari ini. Sekali lagi hati tua itu yang entah berapa kali sudah dijahit sesudah dicarik kembali tertetas. Mulanya, dihantar ke rumah lanjut usia itu kerana katanya dia kan lebih selesa di situ bersama teman-teman seumur. Amatanku. Apakah hidup sesama sebaya, yang mana seorang demi seorang pergi menghadap ilahi saban hari suatu yang dapat dia nikmati? Dibilang padaku olehnya, yang kelmarin dulu seorang karibnya menjawab seru ilahi pada usia 95. Dan dia kini 'baru' mencecah 94. Berhenti sejenak kata disitu. Seolah menanti tibanya giliran diri. Sudahlah itu, dijenguk pula selalunya jarang. Merangkap kepadanya tidak. Seolah dia seorang asing. Sebatang kara dimuka dunia. 

Hari ini. Ditepi dia segala sangsi. Sesudah fajar tersinsing tadi, bersiap si tua mengena blazer berona merah. Disanggul rambut. Dipalit gincu. Dirata celak. Bersiap dia sedemikian rupa kerna hari ini tanggalnya tarikh untuk 'hari menyambut atuk dan nenek'. Kelmarin dulu, beberapa kali sudah cuba dihubung anak teruna tersayang. Tapi dijawab hanya peti simpanan suara. Mungkin anakku sibuk ujarnya. Lalulah dia meninggal pesan. Andai sekeluarga berkelapangan, ringankanlah kaki menjenguk bersempenakan keraian ini. Dan jangan lupa dibawa si cucu tersayang itu. Tertahan tidak rindu dendamnya pada si kecil itu. 

Tepat detik 2 petang, keraian dirasmi dan fiesta bermula. Sudah terpacak si tua itu setengah jam awal kerna mahu memilih tempat terbaik supaya diri bersama keluarga dapat melihat dari sudut terbaik segala tayang sajian. Dek kerna kudrat sudah dimamah usia, berkerusi roda tunggunya dia. Tidak termampu berdiri tunggu di dua kaki. Hatinya berbunga menggunung harapan. Teruja kerna bakal dijumpa dambaan hati. 

Detikan waktu berlalu. Saat demi saat. Minit berganti minit. melangkau jam demi jam. Menoleh dia ke daun pintu penuh debar setiap kali terdengar bunyi pintu terkuak. Berharap sungguh yang menjengah di muka pintu wajah yang dinanti. Bilamananya bukan, kulihat dia mengikut dengan ekor matanya pabila beberapa si tua disambut dakapan mesra keluarga dan handai. Berketap bibirnya. Terusik sedikit calitan maskara oleh butiran permata yang sedikit tertitis. Sedikit berbisik dia padaku, sebentar nanti sampailah mereka ke sini. Pasti ku bisa ketemu dengan cucu kesayangannya. 

Penantian itu suatu penyiksaan. 

Seloka di pentas silih berganti lunak dendangan irama klasik. Entah berapa kali sudah bertukarnya lagu, entah berapa kali sudah seloka bersilih, entah berapa kali sudah pintu terkuak. Sudah gelincir matahari dari paksinya. Sampainya sudah sayupnya hari. Berhenti sudah muzik teralun. Beransur mula semua yang hadir. Betullah taakul dia walau tidak ingin dia percaya. Hari ini. Hanyalah dia dengan kerusi rodanya. Sudahlah pasti. Hasrat harapan tidak kesampaian. Berderap berkecai jatuh menyembah. 

Tapi anehnya. Ku perhati maskaranya masih lekat di mata. Tidaklah langsung bergenang berlinang kelopak mata. Tidaklah dia nampak nya sebak. Cuma diamnya dia merenung ke luar jendela. Pandangnya kosong menatap langit. Seolah pasrah. Mungkin dalam diam dia memendam rasa yang terbungkam. Sayang anak kasihkan cucu. Rela dikorban segala apa. Jiwa raga. Tapi. Di sudut jiwa dia merasa. Samar-samar terdetik kira. Masih adakah tempatnya di hati mereka? Atau dia sekadar si tua hina yang sudah dilupa. 

4 comments:

Adibahbaik said...

ini sedih sangat ni. buat volunteer kat mane

Adibahbaik said...

ok da tau

msmi said...

Tulis sekadar mengingat diri. Yg harapnya jangan nanti sanggup dibiar orang tua sebegini. IA.

along said...

sebab tu kena belikan kak long LV dan segala kemewahan dunia supaya kak long tak sedih dihari tua...ahaks!!!!love you

p/s: 1 a.m masih meneman ismail tgk tv..tekanan