Pages

7/3/12

5/31/12

0846

Menghitung detik-detik yang berlalu. Tempat berjejak semenjaknya esmpat tahun yang lalu. Tanah yang dahulunya gharib bagai sudah menjadi laman akrab lagi karib. Sisi dunia yang tak pernah diimpi kan dikunjung tiba kini terpaksa dilambai pergi. Apakah ini sifir biasa atau sihir angkasa? Aku membesar dari kekanak dididik guru ulung yakni Tuan Hidup nama ditanda. Kitaran ia kitaran manusia kitaran biasa. Saat bersilih orang berganti. Manusia yang hadirnya tidak sama setiap satu. Dalam berkenal tiap wajah laksana cebisan kecil lakaran besar. Anak-anak wayang yang melakar layar segugus cerita berkarang tajuk namanya kawan...

Lintah

6/22/12

Aku melihat mereka aku melihat aku. Aku melihat mereka aku melihat apa yang aku ada. Aku melihat mereka aku nampak aku yang dulu dan mungkin yang masih ini. Aku kembali mencari makna diri. Adakah aku sudah cukup untuk mati. Macam mana aku mahu terus hidup? Aku boleh bernafas senang. Tapi aku pilih untuk bergerak dengan bersesak. Aku kembali kedalam menyoal. Macam mana aku menjadi aku? Adakah aku makin hari makinnya manfaat atau hanyalah bertambah bangsat? 

6/4/12

Cerita Pertama

Cerita perdana cerita pertama cerita utama cerita lara. Izinkan hamba menghikayat kisahnya. Tercoret akan perihal ghulam dalam kembara meredah jelata membidas belantara mencari rasa. Indah suasa tak sikit dapat mengilau pancar cahaya segugus butir dipangkal rasa. Si ghulam asal marhaen tak punya apa. Sisir langkah umpama napoh kecil ditengah semesta. Cuba untung melunjur jari dengan hajatnya mencuit kuis helaian sutera walau diri cumalah perca. Ghulam berlagak laksana permata sampai terlupa asalnya kaca. Ingatnya singgah dapat bertepuk tapi rupanya angin kosong hanya menyambut. Mungkin belum tiba lagi detiknya ya ghulam. Jauh lagi kau perlu menapak. Bendung langitmu ya ghulam. Jangan biarkan kabus tutup litup mentari. Izin tuhan esok mentari tetap menerik dan bumi pusing terus bergolek. Selak helai muka selembar. Mentah lagi dirimu ghulam. Jangan engkau hanya terpaku. Jangan engkau diam di situ. Wahai ghulam, ayuh terus hayun langkahmu. 

5/10/12

Dia Yang Dulu Kurang Bicara

Lewat ini, tiap kali bicara mengundang resah. Entah mengapa. Nadanya bicara semakin menusuk. Tahunan lepas tidak pernah perasan yang telah dia lalui pelbagai ragam berbagai tingkah. Tiap patah nada bersahaja tapi bila diamati ia lebih sekadar kata. Ia luahan jiwa lontaran emosi. Satu fasa yang baru. Mungkin diri yang alpa. Tidak menyedari hakikat kehidupan. Yang ada sering dilupa. Yang ada disambil lewa. Makin lanjut usia. Manusia. Bilakah akan dihargai segala dimilik. Kenapa hanya bila hilang bila terhantuk barunya terngadah. Mengapa tidak dihargai segala yang dimilik. Makhluk yang membelai tanpa pinta dibalas. Satu-satunya makhluk yang mengharap agar yang dibentuk menjadi lebih baik darinya. Tanpa syarat. Meski kadang bukan reti menyampai kata tetapi titis jerih cukup buktinya. Tetapi bila yang kurang sabda itu tiba-tibanya mula sedikit meluah rasa, ia jadi suatu yang berbeza. Mungkinkah kerna berzaman tidak bersua jumpa? Sayup-sayup gema suara berdengung. Dia dalam berkata kadangnya serak. Yang diuntai dapat dirasa bait ikhlas dari ufuk sana. Di sering berkata yang dia tak punya apa. Tapi insan-insan yang dimiliknya adalah dunia. Tetapi adakah dunia yang dimiliknya itu sedar akan hakikat? Ataupun diri yang dipandang dunia memandang kembali diri itu tidak lebih sekadar butir pasir yang hilang dilamun ombak. Bila dia berkata, sangat sekali dia memilih bait. Kerana padanya dia bercakap dengan dunianya yang segala, perlu ditatang dengannya kasih. Tidak sekali pernah dia meninggi lafaz kata. Tidak ada selainnya kagum. Sama masa datangnya kaget. Berjejak ke gagang. Sempatkah masa? Jarum lalu detik bersilih. Hitung hisab taksir telah duga. Tidak mampu melaku apa. Takdir tidak bisa digugah. Hanya pemegang Esa mampu mengubah. Tika ini. Hanya bisa diam sahaja. Menadah usah kalah. Mencuba menguat percaya. Kerana itu sahaja yang ada. 

5/1/12

Bait rangka

Entah mengapa. Hari ini seakan hanya mahu merangka. Menyusun rangka menulis bait. Mencoret-coret sisa rasa. Rasa mahu menjadi seorang manusia. Manusia yang mampu adanya guna. Tidak lama lagi mahu melangkah ke sana. Ke fasa baru yang rasanya bercelaru. Kadang rasanya sudah dicanang sedia. Sudah tersedia pelan keramat. Tapi kadang yang itu seolahnya hambar. Seolahnya hanya suka sendiri. Siapa sebenarnya diri ini? Hujung ini soalan itu kembali bertalu. Sebabnya kadang dirasa yang sedang ada ini bagainya cuma topeng yang menyalut. Yang tertunjuk cuma lakon penuh drama. Rasanya saban hari menapak melangkah. Tapi kini seperti tersedar. Ke mana sebenarnya langkah itu menuju? Betulkah ia semakin kedepan? Atau dalam diam langkah itu berundur? Laku tiap masa menjauhkah diri Darinya? Bagaimana pula dengan taulan dan kerabat? Sendiri mahu menjalin yang mulus dengan setiap satu. Tapi apakah benar yang dilaku itu? Adakah dalam tak sedar diri cuma meluka? Atau hanya mengundang murka nya Dia? Kadang dirasa punya semua. Kadang dirasa tak punya apa. Kadang dirasa mahu menjangkau ke masa depan secepat upaya. Tetapi kadang pula terasa hanya mahu memejam berbaring diam. 

Remeh

Aku kembali menekan kekunci. Kerana ia tak pernah lari. Lincah jari-jemari menari-nari. Manakala papan putih di depan menghadap mematerialkan segala yang berlegar. Kadangkala dia meneman kala tiada siapa yang dirasa mahu mendengar. Dia seolah yang mendengar rapi segala yang mahu diujar. Dia tahu cerita dulu. Dia tahu cerita kini. Dan sudah pasti Dia tahu cerita nanti. Dia tahu siapa ini yang kini. Dia tahu siapa ini yang pernah. Dan Dia tahu siapa yang ini yang akan jadi. Semakin hampir dengannya masa, semakin kadang terasa lompong. Di sisi keliling manusia hebat. Seolah jadi kerikil dirincih. Ini merintih lagi. Merintih laku benak. Ulang kali melaku. Bosan. Pegangnya pudar. Genggamnya letih. Derap derai tersentak menyujud. Sampai bila mahunya begitu? Kadang terasa. Adakah aku ini hanya cuba menggenggam logamaya? 

Aku tahu aku yang terpesong. Kerana jalannya lurus. Aku tahu aku yang tergelincir. Walau jalannya lebar. Aku tahu aku yang berganjak. Kerana Dia tetap di situ. 

Halus


Acap aku menatap yang halus itu. Yang kuyu dan lesu. Melirik dengan dari ekor mata pandang dengan sayu. Sedang lidah hanya kelu membisu. Yang itu yang pertama aku terlihat. Tercelik mata dia menyambut. Di telapak kakinya tersergam makamku. Dari yang lain dia nampaknya bagai yang kurang upaya. Dari yang lain dia nampaknya senantiasa lemah longlainya. Dari yang lain dia hanyalah seorang malang yang kena segala. Hanya itu terpandang dari mereka. Tapi yang melihat ini tidak memandang dengan begitu. Yang terlihat kelibat seorang pejuang terbilang yang gilang gemilang. Dia berjuang dalam diam. Dia berlawan dalam kelam. Dia berperang berseorang. Aku mendengar dia mengerang. Aku melihat dia menggeletar. Aku mendengar dia merintih. Aku nampak kelopaknya bergenang. Tapi bila tersedar ada yang memandang, bibir yang terketap berkuntum terukir. Aku bingung. Dari mana datangnya keringat. Dari mana munculnya kudrat. Padahal gerak jari penuh bisa. Pernah langkahnya lesu longlai. Pernah tak upaya membawa diri. Pernah terpaksa digendong diusung. Seingat akal tidak pernah nampaknya berbuat khianat. Tangannya hulur tak pernah putus. Sayangnya Dia lain caranya. Mungkinnya Dia makin merindu. Lantas ditambah segala satu. Agar dia semakin akrabnya. Dan dia mungkin juga faham yang itu. Kerna dia tidak pernah tidak memanjat syukur berterima kasih. Mungkin yang lain punya pahlawan terbilang. Mungkin yang memandang tokoh kehormat. Aku mungkin tak tahu segala. Dan andai pun aku tak punya yang lain. Tapi aku tahu yang itu setakat ini yang paling kuat yang aku tahu. Kadangkala dia diperlaku tidak sepatutnya. Dan darinya membalas, dia mencipta seribu satu alasan untuk pelaku itu. Masih dia menganggap yang mungkin dia jadi penyebabnya. Mungkin dia yang patut berundur beralah. Meski apa yang terjadi dia yang dulu menghulur ampun. Ini bukan cerita khayalan. Ini bukannya fabel kayangan. Mungkin dia tak reti berkata-kata. Tapi cukup dengan lakunya, aku mengukur tahapku tahapnya. Aku sering cuba menduga. Menahan segala yang terbuku dirasa. Aku sering bertanya-tanya. Apakah layak untuk aku bersandiwara. Apakah perlu aku merasa terguris. Adakah sudah sama aku merasa sepertinya. Dia bukannya seorang nabi, dan dia juga bukannya tabi'in. Dia juga insan biasa. Yang punya hati yang punya jiwa. Yang punya rasa yang punya perasaan. Yang aku tahu hati itu mulus halus lembut. Kerna mudah sekali berkaca mata walau hanya terdengar perihal sengsara orang. Apatah lagi kalau terlihat. Tidak sekali dia meracau. Entah mengapa dia mampu. Andai dia ibarat di nun petala langit, aku hanyalah baru di kaki gunung. Kerna aku jauh lagi tidak upaya mengagau sabarnya. 


4/12/12

Menadah

Menadah bermadah mencurah masalah. Berpaling berpusing keliling mencari entiti bagi diteliti segala erti. Diharap insan lain berupaya bantu menyelesaikan yang sedang buntu. Tetapi yang lain punya agenda perkara sendiri. Sudah cukup yang lain dibeban dengan hal sendiri untuk diperhati. Apakah wajar ditambah lagi dengan runsing sendiri? Kadangnya dihadap lain yang lebih getir. Tapi mereka upaya mengukir kuntum mengalit bibir. Jadi apa perlu apa alasan mencemik memuncung. Yang rumit kusut takkan terlerai dengan  menjaja-jaja. Tapi takkan pula ia terlerai dengan bermuram durja. Jadi bagaimananya? Yang tengah itu kan ada. Tidak perlu jaja berjela dan jangan pula membisu kelu. Dia senantiasa kan ada disitu. Dan dalam memohon padanya Dia, carilah yang akur arif sanggup menyangga empunya diri. Jangan sekali putus asanya. Biarlah seisi dunia mendaga-dagi, asalkan Dia ada disisi, nescaya ampuh perisai terpatri.

3/10/12

Fitrah

Tiba-tiba terasa ingin bicara tentang fitrah. Fitrah rasa yang azali terbina. Yang tidak  boleh dikawal mahunya tapi boleh dikawal lakunya. Yang bisa mengingini setiap satu lepas akal fikir rasional. Tapi yang benar-benar digelar hamba punya kudrat mengukir batas. Melukis garis sempadan yang tidak tergamak dilangkah. Batas hujung yang perlu dibendung. Yang juangnya mengekang suatu yang menggelegak raung pinta disahut. Yang sedang melawan ini tidaklah punya cukup kudrat keringat. Sudah dahulu seringnya tumpas. Sudah bertalu pernah dihunus tusuk. Tapi misih lagi menggenggam sekeping percaya. Kadangnya yang dimahu seolah tidak tergapai. Kerna seolah beza ciri langit dan bumi. Yang tak seberapa mahunya yang ketara. Potret akhir samar-samar, tapi kini cuba dicapai pena runcing memula lakaran di birai kanvas. Yang selagi belum betul jalannya itu, jangan pernah katanya tewas. Jauh sekali diri darinya moleknya. Mungkin kalau dipandang yang lain nampaknya cuma berpura-pura bermuka-muka. Tapi diri itu tidak punya upaya kawal tentang apa yang lain mahu mengata. Apa yang lain mahu menganggap. Apa yang lain mahu bicara. Yang lepas mustahil untuk dibetul. Yang lepas sudah tersisip kemas terikat. Banyak titik hitam darinya putih. Banyak khilaf dari manafaat. Walau sesal tentang yang demikian, tidak kan mampu yang silam diputar masa. Yang ada cuma masa ini yang mampu dimilik. Dan laku ini yang kan mencorak sejarah depan. Hanya laku kini yang bisa diadun. Jangan dikisah akan hak diri dari insan kerana bukan itu yang nanti dihisab. Khuatirlah yang akan ditimbang akan tanggungjawab diri setakat mana penuh buatnya. Yang kata hidupnya tidak lain untukNya tapi sebetul mana jawap itu tercermin dalamnya laku. Kata ini mengingat hati sendiri yang payah naik tahapnya itu tapi luncur merudum menjunam gaung. Andai ada yang sudi memapah mari sama jalan seiring. Andai kau sudah berlari, izinkan aku mula bertatih. Andai dekat dengannya buatkan aku jauh dariNya, tariklah aku kembali agar dekat denganMu.