Acap aku menatap yang halus
itu. Yang kuyu dan lesu. Melirik dengan dari ekor mata pandang dengan sayu.
Sedang lidah hanya kelu membisu. Yang itu yang pertama aku terlihat. Tercelik mata dia
menyambut. Di telapak kakinya tersergam makamku. Dari yang lain dia nampaknya
bagai yang kurang upaya. Dari yang lain dia nampaknya senantiasa lemah
longlainya. Dari yang lain dia hanyalah seorang malang yang kena segala. Hanya
itu terpandang dari mereka. Tapi yang melihat ini tidak memandang dengan
begitu. Yang terlihat kelibat seorang pejuang terbilang yang gilang gemilang.
Dia berjuang dalam diam. Dia berlawan dalam kelam. Dia berperang berseorang. Aku
mendengar dia mengerang. Aku melihat dia menggeletar. Aku mendengar dia
merintih. Aku nampak kelopaknya bergenang. Tapi bila tersedar ada yang
memandang, bibir yang terketap berkuntum terukir. Aku bingung. Dari mana
datangnya keringat. Dari mana munculnya kudrat. Padahal gerak jari penuh bisa.
Pernah langkahnya lesu longlai. Pernah tak upaya membawa diri. Pernah terpaksa
digendong diusung. Seingat akal tidak pernah nampaknya berbuat khianat.
Tangannya hulur tak pernah putus. Sayangnya Dia lain caranya. Mungkinnya Dia
makin merindu. Lantas ditambah segala satu. Agar dia semakin akrabnya. Dan dia
mungkin juga faham yang itu. Kerna dia tidak pernah tidak memanjat syukur
berterima kasih. Mungkin yang lain punya pahlawan terbilang. Mungkin yang
memandang tokoh kehormat. Aku mungkin tak tahu segala. Dan andai pun aku tak
punya yang lain. Tapi aku tahu yang itu setakat ini yang paling kuat yang aku
tahu. Kadangkala dia diperlaku tidak sepatutnya. Dan darinya membalas, dia
mencipta seribu satu alasan untuk pelaku itu. Masih dia menganggap yang mungkin
dia jadi penyebabnya. Mungkin dia yang patut berundur beralah. Meski apa yang
terjadi dia yang dulu menghulur ampun. Ini bukan cerita khayalan. Ini bukannya
fabel kayangan. Mungkin dia tak reti berkata-kata. Tapi cukup dengan lakunya,
aku mengukur tahapku tahapnya. Aku sering cuba menduga. Menahan segala yang
terbuku dirasa. Aku sering bertanya-tanya. Apakah layak untuk aku bersandiwara.
Apakah perlu aku merasa terguris. Adakah sudah sama aku merasa sepertinya. Dia
bukannya seorang nabi, dan dia juga bukannya tabi'in. Dia juga insan biasa.
Yang punya hati yang punya jiwa. Yang punya rasa yang punya perasaan. Yang aku
tahu hati itu mulus halus lembut. Kerna mudah sekali berkaca mata walau hanya
terdengar perihal sengsara orang. Apatah lagi kalau terlihat. Tidak sekali dia
meracau. Entah mengapa dia mampu. Andai dia ibarat di nun petala langit, aku
hanyalah baru di kaki gunung. Kerna aku jauh lagi tidak upaya mengagau
sabarnya.
No comments:
Post a Comment