Pages

5/1/12

Remeh

Aku kembali menekan kekunci. Kerana ia tak pernah lari. Lincah jari-jemari menari-nari. Manakala papan putih di depan menghadap mematerialkan segala yang berlegar. Kadangkala dia meneman kala tiada siapa yang dirasa mahu mendengar. Dia seolah yang mendengar rapi segala yang mahu diujar. Dia tahu cerita dulu. Dia tahu cerita kini. Dan sudah pasti Dia tahu cerita nanti. Dia tahu siapa ini yang kini. Dia tahu siapa ini yang pernah. Dan Dia tahu siapa yang ini yang akan jadi. Semakin hampir dengannya masa, semakin kadang terasa lompong. Di sisi keliling manusia hebat. Seolah jadi kerikil dirincih. Ini merintih lagi. Merintih laku benak. Ulang kali melaku. Bosan. Pegangnya pudar. Genggamnya letih. Derap derai tersentak menyujud. Sampai bila mahunya begitu? Kadang terasa. Adakah aku ini hanya cuba menggenggam logamaya? 

Aku tahu aku yang terpesong. Kerana jalannya lurus. Aku tahu aku yang tergelincir. Walau jalannya lebar. Aku tahu aku yang berganjak. Kerana Dia tetap di situ. 

Halus


Acap aku menatap yang halus itu. Yang kuyu dan lesu. Melirik dengan dari ekor mata pandang dengan sayu. Sedang lidah hanya kelu membisu. Yang itu yang pertama aku terlihat. Tercelik mata dia menyambut. Di telapak kakinya tersergam makamku. Dari yang lain dia nampaknya bagai yang kurang upaya. Dari yang lain dia nampaknya senantiasa lemah longlainya. Dari yang lain dia hanyalah seorang malang yang kena segala. Hanya itu terpandang dari mereka. Tapi yang melihat ini tidak memandang dengan begitu. Yang terlihat kelibat seorang pejuang terbilang yang gilang gemilang. Dia berjuang dalam diam. Dia berlawan dalam kelam. Dia berperang berseorang. Aku mendengar dia mengerang. Aku melihat dia menggeletar. Aku mendengar dia merintih. Aku nampak kelopaknya bergenang. Tapi bila tersedar ada yang memandang, bibir yang terketap berkuntum terukir. Aku bingung. Dari mana datangnya keringat. Dari mana munculnya kudrat. Padahal gerak jari penuh bisa. Pernah langkahnya lesu longlai. Pernah tak upaya membawa diri. Pernah terpaksa digendong diusung. Seingat akal tidak pernah nampaknya berbuat khianat. Tangannya hulur tak pernah putus. Sayangnya Dia lain caranya. Mungkinnya Dia makin merindu. Lantas ditambah segala satu. Agar dia semakin akrabnya. Dan dia mungkin juga faham yang itu. Kerna dia tidak pernah tidak memanjat syukur berterima kasih. Mungkin yang lain punya pahlawan terbilang. Mungkin yang memandang tokoh kehormat. Aku mungkin tak tahu segala. Dan andai pun aku tak punya yang lain. Tapi aku tahu yang itu setakat ini yang paling kuat yang aku tahu. Kadangkala dia diperlaku tidak sepatutnya. Dan darinya membalas, dia mencipta seribu satu alasan untuk pelaku itu. Masih dia menganggap yang mungkin dia jadi penyebabnya. Mungkin dia yang patut berundur beralah. Meski apa yang terjadi dia yang dulu menghulur ampun. Ini bukan cerita khayalan. Ini bukannya fabel kayangan. Mungkin dia tak reti berkata-kata. Tapi cukup dengan lakunya, aku mengukur tahapku tahapnya. Aku sering cuba menduga. Menahan segala yang terbuku dirasa. Aku sering bertanya-tanya. Apakah layak untuk aku bersandiwara. Apakah perlu aku merasa terguris. Adakah sudah sama aku merasa sepertinya. Dia bukannya seorang nabi, dan dia juga bukannya tabi'in. Dia juga insan biasa. Yang punya hati yang punya jiwa. Yang punya rasa yang punya perasaan. Yang aku tahu hati itu mulus halus lembut. Kerna mudah sekali berkaca mata walau hanya terdengar perihal sengsara orang. Apatah lagi kalau terlihat. Tidak sekali dia meracau. Entah mengapa dia mampu. Andai dia ibarat di nun petala langit, aku hanyalah baru di kaki gunung. Kerna aku jauh lagi tidak upaya mengagau sabarnya. 


4/12/12

Menadah

Menadah bermadah mencurah masalah. Berpaling berpusing keliling mencari entiti bagi diteliti segala erti. Diharap insan lain berupaya bantu menyelesaikan yang sedang buntu. Tetapi yang lain punya agenda perkara sendiri. Sudah cukup yang lain dibeban dengan hal sendiri untuk diperhati. Apakah wajar ditambah lagi dengan runsing sendiri? Kadangnya dihadap lain yang lebih getir. Tapi mereka upaya mengukir kuntum mengalit bibir. Jadi apa perlu apa alasan mencemik memuncung. Yang rumit kusut takkan terlerai dengan  menjaja-jaja. Tapi takkan pula ia terlerai dengan bermuram durja. Jadi bagaimananya? Yang tengah itu kan ada. Tidak perlu jaja berjela dan jangan pula membisu kelu. Dia senantiasa kan ada disitu. Dan dalam memohon padanya Dia, carilah yang akur arif sanggup menyangga empunya diri. Jangan sekali putus asanya. Biarlah seisi dunia mendaga-dagi, asalkan Dia ada disisi, nescaya ampuh perisai terpatri.

3/10/12

Fitrah

Tiba-tiba terasa ingin bicara tentang fitrah. Fitrah rasa yang azali terbina. Yang tidak  boleh dikawal mahunya tapi boleh dikawal lakunya. Yang bisa mengingini setiap satu lepas akal fikir rasional. Tapi yang benar-benar digelar hamba punya kudrat mengukir batas. Melukis garis sempadan yang tidak tergamak dilangkah. Batas hujung yang perlu dibendung. Yang juangnya mengekang suatu yang menggelegak raung pinta disahut. Yang sedang melawan ini tidaklah punya cukup kudrat keringat. Sudah dahulu seringnya tumpas. Sudah bertalu pernah dihunus tusuk. Tapi misih lagi menggenggam sekeping percaya. Kadangnya yang dimahu seolah tidak tergapai. Kerna seolah beza ciri langit dan bumi. Yang tak seberapa mahunya yang ketara. Potret akhir samar-samar, tapi kini cuba dicapai pena runcing memula lakaran di birai kanvas. Yang selagi belum betul jalannya itu, jangan pernah katanya tewas. Jauh sekali diri darinya moleknya. Mungkin kalau dipandang yang lain nampaknya cuma berpura-pura bermuka-muka. Tapi diri itu tidak punya upaya kawal tentang apa yang lain mahu mengata. Apa yang lain mahu menganggap. Apa yang lain mahu bicara. Yang lepas mustahil untuk dibetul. Yang lepas sudah tersisip kemas terikat. Banyak titik hitam darinya putih. Banyak khilaf dari manafaat. Walau sesal tentang yang demikian, tidak kan mampu yang silam diputar masa. Yang ada cuma masa ini yang mampu dimilik. Dan laku ini yang kan mencorak sejarah depan. Hanya laku kini yang bisa diadun. Jangan dikisah akan hak diri dari insan kerana bukan itu yang nanti dihisab. Khuatirlah yang akan ditimbang akan tanggungjawab diri setakat mana penuh buatnya. Yang kata hidupnya tidak lain untukNya tapi sebetul mana jawap itu tercermin dalamnya laku. Kata ini mengingat hati sendiri yang payah naik tahapnya itu tapi luncur merudum menjunam gaung. Andai ada yang sudi memapah mari sama jalan seiring. Andai kau sudah berlari, izinkan aku mula bertatih. Andai dekat dengannya buatkan aku jauh dariNya, tariklah aku kembali agar dekat denganMu. 

2/26/12

Rambang

Baru secupak diuji. Sudahnya rambang mata. Kelu kata. Suka. Ria. Padahal cakapnya selalu tentangnya hak, amanah, tanggungjawab. Tapi bila mananya yang betul jadi ujian, seolah hilang semua yang dikhutbah. Seolah yang ini jadi kelas yang lain. Macamnya yang dibicara hanyanya kata-kata kosong. Lompong tidak terlangsung. Apa beza dengan segala yang ada yang duduk dikritik. Kalaunya baru yang sikit ini sudah tidak terdaya menepis. Tidak tergamak hendak dingaku. Nanti ditanya apa bendanya yang nak dikata? Oh Tuhan bukan aku yang darab bahagi. Bukan aku yang tambah tolaknya. Aku terima sahaja tanpa berkata. Belah mana silap salahnya? Yang itu sendiri tak aku rasa masuk dek akal. Sebab sendiri diri bisa menyangkal. Masakan si Dia tidak tahu yang di dalam ini. Tidak lain hanyanya memperbodoh diri andai diingat bisa Dia dimain akal dangkal ini. Yang pun hanya dinugrah oleh Nya. Ini kata monolog sendiri. Pada sendiri yang konon kepingin dibaiki. Kalau betul selalu kata ikut tunjuk hati ikut betul fikir. Rasanya tiba masa mengota yang dikata. Memang boleh dicari seribu satu macam kata yang bisa menyokong hujah. Tapinya sudah selalu kan jadi yang ini. Nantinya sendiri yang gelisah sampai ke sudah. 

2/21/12

Lengai

Yang itu entah mana kudratnya. Mudah benar dicuit insan. Rapuh benar kelilingnya. Andainya tak betah menahan asak, nyahlah pergi darinya mukim. Usahlah lebih menakwil sasa jiwa. Ruang yang itu tidak mampu menahan dua. Biarpun tunas pelbagai mekar di ufuk sana hanya satu akar yang bisa cambah. Azalinya benih rimbun dicambah niatnya kembang satu puspa. Tapinya benih yang satu dalamnya tumbuh sering dilitup kabus. Kabus kabut tutup mentari. Jadinya sesat. Hilang punca hilang arah. Lalunya, arah benih kian tersasul. Menggagau lorong lohong kosong. 

2/6/12

Cerita si Dia

         Assalamualaikum. Yang ini sebenarnya segan untuk berbicara. Dan lebih kepada takut. Segan sebab dengan yang tahu tak seberapa tapi tiba-tiba mahu berkata-kata, dan takut kebenciaan disebab oleh benda yang diutara. Sebab telah berfirman yang maha Esa:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah-kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (As-Saf, 61:2-3)

Dan yang mahu dikata ini pula perihal insan yang mulia. Yang jauh dari cacat cela, yang setiap laku setiap satu sudah diwahyu. Jadi yang ini sebenarnya anggaplah bermonolog. Berdialog mengingatkan diri sendiri. Andai ada yang tak kena, itu semua dari diri ini yang banyak khilafnya, dan harap tambahkan lah mana yang kurang, tegakkan lah mana yang bengkok, ingatkanlah mana yang terlupa.

Februari. Bulan yang digembar gemburkan tentang kasih, tentang sayang, tentang cinta. Sentimen yang sering diutarakan, diudarakan, dan ianya satu rasa yang sememangnya menjadi fitrah bagi yang bernama manusia. Masing-masing kepingin dicintai dan mencintai, dan andai yang berepuk sebelah itu, tidak terperi sakit dirasai. Dan yang dingini itu selalunya yang teristimewa yang termulia, yang di pandangan majazi ini tiada lah cacat celanya.

Bagaimana kiranya andai ada yang mengingini diri ini seorang yang sudah sedia maklum mulia akhlaknya, indah perilaku, baik budi pekerti, baik serba serbinya, dan dengan girangnya dia yang memulakan percintaan itu menghulurkan tangannya untuk bertepuk sambil menunggu untuk membalasnya, apakah dangkalnya andai tidak disambut tangan itu. Mengapakah tangan mulia itu tidak disambut, sedangkan dia lebih dari layaknya. Walau martabatnya jauh lebih tinggi, walau tarafnya memang tak tergapai, semua itu tidak diendahkannya. Dia yang mulia itu  merindukan dan mendambakan seseorang, dan seseorang itu adalah kalian. Kalian semua.

Cerita ini cerita yang biasa, yang sering diperdengar, tetapi di kala ini, sekali lagi biar kita melawat cerita ini.

1/31/12

Kekura

Ia seekor kekura tua. Terbit kalbunya sekelumit rasa. Seolah tidak lah ada gunanya laku. Kekadang ia cuba membantu. Tetapi usainya kelahi. Bila dikata buat nya satu kernanya suatu. Terasa seperti dikhianati pendamnya. Seolah yang jerih itu dilontar kerna kepentingan diri. Salahkah kekura memberi cuma kernanya rasa yang timbul? Dari terbit rasanya insan. Tapi cumanya. Bila yang itu pun disalah erti. Kekura terguris. Kalbunya dihiris. Terasa segala laku laksana sebab kepentingan semata. Tapi. Salah lagi. Bilanya. Dengan sedikit rasa misih tersisa. Cuba disebut beruntai kata. Sekali kasar utara terterbit bicara. Asal kata mahu mengurai. Jadinya. Makin kusut kian kabut. Tapi. Apakah perlu ia jadinya sebab menghalang nya tindak? Jangan. Bukan nanti kekura diadilinya orang seorang. Singkat hidup untuk terbatuk. Singkat hidup untuk terhantuk. Singkat hidup untuk bermenung. Singkat hidup untuk meraung. Singkat hidup untuk berpaling. Singkat hidup untuk berpusing. Kerna bila tiba masa kan tetap diusir. Tanpa sedar masanya akhir. Kerna diri hanya musafir. Hanya yang berfikir dapat menafsir. Jangan direnung kisah silam yang kusam. Petiklah yang asam cedoklah yang garam. Memang yang depan itu kelam. Memang nanti ada yang suram. Boleh jadi yang tinggal lereng yang curam. Biarlah. Biarlah sungkur. Biarlah sembam. Dah namanya tebing. Asal geraknya depan dan bukannya belakang. Angin kan membisik di malam bole. Mengarah cekau jalanan depan. Biar terpaksa merangkak-merangkak. Meski berbengkak terus bergerak. Dari tercangak sembul umpama tunggul. Yang bersimpuh lenguh terus mengeluh.