Anak itu asalnya kampung. Tidaklah hidup sesenang mana, tapi cukuplah makan pakainya. Tidak dipunya segalanya harta, sekadar yang asas itulah yang ada. Bahasa perantara yang dijadi guna, tidak sepatah Bahasa Inggeris ditutur, hanya bahasa ibunda luncur meniti di bibir. Sungguh begitu, ulangkali dipesan kata ditunjuk laku oleh ibunda, biar yang lain semua tiada, asal yang budi tersemat ada, asal yang dikata enak dicuping, dan yang dilaku tidak meluka, cukuplah itu yang mahu dipinta. Meski yang demikian, membanting tulang subuh ke sore kedua orang tua anak itu memerah keringat mencari rezeki membekal segala yang dirasa perlu, dan yang utamanya, ditekan betapa peri pentingnya ilmu agar jadinya nanti seorang ‘manusia’. Semenjak kecilnya, anak itu dibelajarkan di TASKI, yang kemudiannya dihantar pula ke sekolah rendah, yang kemudiannya dituruti sekolah asrama dan atas berkat doa kedua si tua, anak itu dapat melanjutkan pelajaran ke rantau orang. Tulis ini kerana cuba mencatit barang sefasal dua perihal yang dinampak rasa dek ekor mata anak itu. Sekadar coretan cebisan hidup si anak marhaen.
Tentang hidup. Banyak benar. Biar dimula dari sekadar yang terlintas dan lihatlah kemudian kemana akan tulis ini terkemudi. Biar dimula dengan pandang anak itu tentangnya suatu perkara yang dinamai ‘deen’. Anak itu, walau dari kecil sudah terdidik akan perkara tunjang yang gelarannya agama, yang dirasai di sini walau sama gelarannya, tapi sepertinya sisi sebelah satu lagi syiling itu. Kerana di tanah air itu ramai sekali yang berpegang ajaran yang sama. Tambah lagi, yang ada dikampung itu hampir semuanya berpegangan yang sama, sekolahnya sekolah melayu, kawannya hampir semua melayu, dan melayu itu sinonimnya islam. Dan kelas agamanya setiap masa. Pandangnya, cukuplah rasanya kalau dirasa sudah betul faham agama sendiri. Ujian pun markahnya baik sentiasa. Setakat Subjek Agama hanya sebelah mata sahaja memandang. Iyalah, segala definisi dari segi bahasa mahupun istilah sudah dihafal, segala rukun, syarat sah, segala yang haram halal semuanya dihafal sudah. Apa lagi yang ada? Kerana cikgu pun ajarnya setakat itu. Sering pula diberi puji. Nah, sudah anak itu menjadi si ‘terpelajar’. Tetapi, seperadaan anak itu di sini, maaflah kalau dikata begini, tapi yang dirasai anak itu agama yang dipelajari itu lebihnya kepada budaya darinya pegangan. Lebih kepada hafalan darinya fahaman. Memanglah seribu satu solat ditunjuk ajar, himpunan doa dihafal arabnya, puasa Ramadhan sehari tak tinggal, surah di kalam suci disuruh hafal. Betullah, semua itu penting sekali untuk disemat di dalamnya dada, memang perlu untuk dihafaz, akan tetapi dalam ustaz-ustazah sibuk menyuruh si anak itu mengingat semua yang perlu, mereka bagai terlupa ‘rempahan utama’ dalamnya ia.